pencil

Usaha Syeikh Abdul Qadir Al-Mandili Dalam Merealisasikan Wasatiyah

Biografi Syeik Abdul Qadir Al-Mandili

Allah menjadikan umat islam sebagai umat yang adil terbaik dan terpilih berbanding umat-umat yang lain. Firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah … [ Al-Baqarah: 143 ]

Wasatiyah dalam ayat ini merujuk kepada umat yang adil, terpilih dan terbaik[1].Para Ulama Islam setiap zaman datang untuk menjelaskan kepada masyarakat mereka berkenaan wasatiyah islam, sama ada dalam praktik amalan mahupun tulisan mereka. Antara Ulama di Nusantara yang dilihat banyak memperjuangkan konsep wasatiyyah islam dalam tulisan-tulisan dan pengajarannya ialah Syeikh ‘Abd. al-Qadir bin ‘Abd al-Mutallib al-Mandili.

Kertas kerja ini akan memberi fokus berkenaan konsep Wasatiyyah yang diperjuangkan oleh Syeikh al-Mandili dalam tiga aspek penting dalam agama, iaitu aspek Akidah, Syariah dan Akhlak melalui karya tulisan beliau yang utama.

1. Biografi dan Pendidikan Syeikh Abdul Qadir Al-Mandili

‘Abd. al-Qadir al-Mandili dilahirkan pada tahun 1910M di kampung Sigalanggang Padangsidempuan, Tapanuli Selatan, Sumatera Utara. Beliau mendapat pendidikan asas di Sekolah Rendah Belanda hingga darjah lima. Pada tahun 1924, ketika usianya 14 tahun, beliau berhijrah ke Kedah untuk mendalami ilmu agama di pondok-pondok.

Al-Mandili mula belajar mengenal huruf dan bacaan jawi di Pondok Panjang Rong yang terletak di Tobiar, Pendang. Antara guru yang membimbingnya pada masa itu ialah Tuan Guru Haji Bakar. Seterusnya al-Mandili berpindah ke Pondok Air Hitam bagi mendalami kitab-kitab nahu dan tatabahasa Arab seperti al-Matn al-Ajrumiyyah, kitab Mutammimah dan Matn Alfiyah Ibn Malik. Di bawah didikan beberapa guru antaranya Tuan Haji Idris bin Lebai Yusuf dan Lebai Dukun, al-Mandili mula menguasai tatabahasa Arab. Al-Mandili kemudiannya menyambung pengajian di Pondok Gajah Mati, Pendang dengan lebih terfokus pada ilmu-ilmu agama. Di sini, beliau berpeluang berguru dengan seorang ulama terkenal Kedah iaitu Haji Wan Ibrahim bin Haji Wan Abdul Qadir atau terkenal dengan panggilan Pak Chu Him Gajah Mati. Mengabdikan diri selama sepuluh tahun di pondok ini, al-Mandili bukan sekadar menuntut ilmu. Beliau turut diberi kepercayaan untuk mencurahkan ilmu kepada pelajar-pelajar lainnya.

Pada tahun 1936M, al-Mandili merantau ke Mekah untuk memperdalamkan ilmunya dalam agama. Ini merupakan peringkat terakhir perjalanan hidup al-Mandili dalam menuntut ilmu. Meneruskan peranannya sebagai penuntut ilmu, al-Mandili tekun berguru dengan beberapa ulama terkenal di Mekah. Antara guru-gurunya adalah Wan Ismail bin Wan ‘Abd. al-Qadir atau masyhur dengan panggilan Pak Da Ail Patani yang merupakan abang kepada Pak Chu Him. Selain Pak Da Ail, al-Mandili turut berguru kepada Syeikh Ali al-Maliki, Syeikh Hasan Muhammad al-Mashat, Syeikh Muhammad al-‘Arabi bin al-Tabani bin al-Hussein al-Wahidi al-Maghribi, Syeikh Sayid al-‘Alawi bin Abbas al-Maliki dan Syeikh Muhammad Ahyad. Dengan kealiman beliau, al-Mandili telah diberi kepercayaan untuk mengajar di Masjidil Haram, satu kedudukan yang sememangnya tidak diberikan kepada sembarangan orang.

Selain aktif menjalankan kelas-kelas pengajian agama, al-Mandili juga aktif berkarya. Sejumlah 24 karya telah dihasilkan dalam bidang usuluddin, fiqh, politik, hadis, pendidikan, perundangan dan akhlak. Menerusi karya-karya yang terdiri daripada pelbagai disiplin ilmu ini, al-Mandili telah memberi satu sumbangan yang amat besar dalam penyebaran ilmu Islam di Alam Melayu khusus kepada institusi pengajian pondok. Hingga ke hari ini, kitab-kitab beliau masih dijadikan rujukan khususnya di pondok-pondok pengajian di Kedah, Kelantan dan Patani.[2]

2. Konsep Wasatiyyah menurut Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Mandili

 

2.1 Wasatiyah Syeikh al-Mandili dari sudut Akidah.

Dari sudut Akidah aspek wasatiyah yang ditonjolkan oleh Syeikh al-Mandili sangat jelas dan ini dapat dibuktikan melalui kitab beliau yang utama tersebar di Nusantara iaitu kitab “ Perisai Bagi Sekalian Mukallaf” atau “ Simpulan Iman Atas Mazhab Salaf”. Hal ini dapat dilihat dengan jelas kerana beliau dianggap Ulama Nusantara yang terawal menterjemahkan kitab Akidah Salaf dalam bahasa melayu iaitulah kitab Aqidah Al-Tahawiyyah. Jelas beliau:

“ Dan adalah (al-Akidah al-Salafiyah) karangan bagi al-Imam Abu Jaafar Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Tahawi setengah daripada sebagus-bagus kitab pada ini ilmu. Maka kerana yang demikian itu gemar hati hamba pada menterjemahnya kepada bahasa Melayu dan membuat syarah baginya dan hamba namakan akan terjemah dan syarahnya itu Perisai bagi Mukallaf Atau Simpulan Iman Bagi Atas Jalan Salaf…..”[3]

Al-Mandili menegaskan jalan yang terbaik untuk memahami akidah islam adalah jalan Salaf, tegas beliau:

“….dan jalan bagi Salaf (sahabat dan tabiin dan itba tabiin) lebih sejahtera, kerana barang yang ada padanya selamat daripada menentukan makna yang barangkali tiada menghendaki akan dia oleh Allah Subhanahu wa Taala, dan mazhab mereka itu lebih baik kerana mereka itu sebaik-baik kurun…”[4]

2.2 Wasatiyyah Syeikh Al-Mandili dalam Rububiyyah

Syeikh Al-Mandili menetapkan Tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Al-Rububiyyah, Al-Uluhiyyah dan Al-Asma’ wa Sifat. Jelas beliau:

“ Bermula tauhid Ar-Rububiyyah iaitu mengesakan Allah Ta’ala dengan segala perbuatanNya, seperti menjadikan dan memberi rezeki dan menghidupkan dan mematikan dan menurukan hujan dan memelihara dan memberi manfaat dan memberi mudharat, dan umpama yang demikian itu….”[5]

Jelas beliau lagi:

“ Maka barangsiapa mengi’tiqadkan akan memberi bekas sesuatu yang lain daripada Allah Ta’ala. Maka tiada syak pada kufurnya, seperti mereka yang mengi’tiqadkan akan hantu laut kuasa menggoda orang yang bekerja di laut jika tiada dijamah akan dia dengan kerbau balar atau lainnya, dan seperti mereka yang mengi’tiqadkan bahawasanya tok nenek dan hantu darat dan tok keramat kuasa mendatangkan penyakit jika tiada diminta tabik dan diminta maaf daripada mereka itu, atau tiada dijamu mereka itu dengan nasi putih kuning dan bertih dan masang dian (lilin).”[6]

2.3 Wasatiyyah Syeikh Al-Mandili dalam Tauhid Uluhiyyah

Jelas Syeikh Al-Mandili:

“ Dan bermula tauhid Al-Uluhiyyah iaitu mengEsakan Allah ta’ala dengan segala perbuatan hamba yang mensyara’kan akan dia oleh Allah Ta’ala bagi mereka itu seperti Doa dan nazar, menyembelih korban, Minta tolong, sembahyang, Puasa, zakat, haji, Umrah dan lain daripada yang demikian.”[7]

“ Maka jangan minta ampun ia daripada segala dosa melainkan akan Allah Ta’ala, kerana tiada ada yang mengampuni dosa melainkan Allah Ta’ala seperti yang tersebut di dalam Sayyidul Istighfar, maka tiada harus bagi seseorang minta ampun dan minta maaf akan hantu atau tok keramat atau tok nenek..” [8]

“ Dan ini tauhid ialah yang mengingkarkan akan dia oleh musyrikun, dan inilah perbantahan antara sekalian rasul dan sekalian umat mereka itu dari semenjak Nabi Nuh sampai kepada Nabi Muhammad Shallallahu’alaihima wasallam…”[9]

2.4 Wasatiyyah Al-Mandili dalam Tauhid Al-Asma’ was Sifat

Jelas Syeikh Al-Mandili:

“ Dan adapun tauhid Al-Asma’ was Sifat, maka iaitu percaya dan membenarkan akan sekalian yang datang di dalam Al-Quran dan segala hadith yang sahih daripada segala nama dan sifat Allah Ta’ala. Dan mensifatkan Allah Ta’ala dengan dia atas hakikat, dengan ketiadaan menyerupakan dan memalingkan daripada zahirnya. Bahkan diserahkan hakikatnya kepada Allah Ta’ala, kerana seperti tiada mengetahui akan hakikat zat Allah Ta’ala melainkan Allah Ta’ala. Demikian juga tiada mengetahui akan hakikat sifat Allah Ta’ala melainkan Allah Ta’ala..” [10]

Maka wajib atas tiap-tiap mukallaf mensifatkan Alla Ta’ala dengan barang yang mensifatkan ia dengan dia akan dirinya. Dan dengan barang yang mensifatkan dengan dia oleh rasulNya, serta dii’tiqadkan bersalahannya dengan segala sifat makhluk. Maka kita `itiqadkan bahawasanya Allah Ta’ala mendengar tiada seperti mendengar kita, dan melihat Ia tiada seperti melihat kita dan berkata-kata Ia tiada seperti berkata-kata kita.”[11]

“ Telah ittifaq sekalian Ahlus Sunnahatas bahawa Allah Ta’ala tiada seumpamaNya sesuatu. Tiada pada zatNya dan tiada pada sifatNya dan tiada pada perbuatanNya. Kerana firman Allah Ta’ala:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Ertinya: Tiada ada seperti zat Allah segala zat, dan tiada ada seperti sifatNya segala sifat, dan Ia jua yang sangat mendengar akan segala yang didengar, dan sangat melihat akan segala yang dilihat. ( Asy-Syura: 11 )

Maka firmanNya: لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

Menolak akan segala puak yang menyerupakan Allah Ta’ala dengan makhluk pada sifatNya seperti Daud Al-Jawarabi dan yang menyerupaiNya, dan mereka itu ‘akas bagi Nasrani, yang menyerupakan mereka itu akan makhluk, iaitu Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dengan Tuhan, dan menjadikan mereka itu akan dia Tuhan.

Dan firmanNya: وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Menolak akan segala puak menafikan sifat Allah Ta’ala dan mengosongkan Tuhan daripada sifat, seperti Jahamiyyah, iaitu mereka yang mengikut akan Jaham bin Shafwan As-Samarqandi…..”[12]

2.5 Wasatiyyah Syeikh Al-Mandili dalam Masalah Sahabat

Al-Mandili juga menolak sikap ekstrem yang ditempuh oleh golongan ahli bid`ah seperti Muktazilah dan Syiah Rafidhah terhadap sahabat Nabi sekaligus menjelaskan wasatiyyah Ahli Sunnah . Kata beliau:

“Menunjuki oleh pengarang rahimahullahu Ta’ala kepada menolak atas sekalian Rafidhah dan sekalian Nashiyyah….Adapun mazhab kita Ahlus Sunnah, maka iaitu kasih akan sekalian sahabat Nabi s.a.w…”[13]

Jelas Al-Mandili lagi:

“ Dan bahawa wajib atas kita kasih akan sekalian sahabat Rasulullah Shallallahu’alaihiwasallam dan sekalian isterinya. Dan tiada berlebih-lebihan kita pada kasih akan mereka itu, dan tiada menyebut kita akan mereka itu melainkan dengan kebaikan..”[14]

2.6 Wasatiyyah Syeikh Al-Mandili dalam Qadar

Jelas beliau ketika membantah perkataan Qadariyyah dan Muktazilah dan menjelaskan wasatiyyah Ahli Sunnah dalam masalah Qadar:

“ Bermula ini perkataan menolak akan perkataan Qadariyyah dan Muktazilah. Maka bahawasanya mereka itu menyangka bahawa Allah Taala berkehendak Ia akan iman daripada sekalian manusia, dan kafir itu berkehendak ia kepada kufur. Dan bermula perkataan mereka ini dusta dan batul, kerana menyalahi ia akan Al-Quran dan hadith dan dalilaqal, dan dinamakan akan mereka itu dengan Qadariyyah kerana ingkar mereka itu akan qadar, demikian juga dinamakan dengan Qadariyyah akan Jabariyyah yang berhujjah dengan qadar, tetapi menamakan puak yang pertama dengan dia lebih masyhur.

Adapun Ahlus Sunnah, maka berkata mereka itu bahawasanya Allah Ta’a;a sekalipun menghendaki ia akan maksiat, maka tiada kasih Ia akana dia dengan dia, bahkan murka Ia daripadanya. Dan inilah perkataan sekalian salaf semuanya, maka berkata mereka itu:

ما شاء الله كان وما لم يشأ لم يكن

“ Barangsiapa yang berkehendak Allah Ta’ala akan adanya nescaya ada ia, dan barangsiapa yang tiada menghendaki ia akan adanya nescaya tiada ada ia…” [15]

Nukilan-nukilan ini menunjukkan kita betapa Syeikh al-Mandili seorang yang menekankan konsep Wasatiyyah dalam Akidahnya tatkala beliau mengagungkan mazhab Salaf dalam Akidah.

3. Wasatiyah Syeikh al-Mandili dari sudut Syariah

Dari sudut syariah, konsep Wasatiyah yang ditonjolkan oleh Syeikh al-Mandili adalah sama seperti apa yang dibawa oleh para ulama yang sebelum beliau. Syeikh al-Mandili dikenali seorang ulama yang tegas melawan golongan yang anti mazhab atau fanatik mazhab. Buktinya Syeikh al-Mandili ada menulis satu karya khusus yang berjudul “ Al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab” yang tujuannya bagi menolak pandangan Hasan Bandung yang mengharamkan bermazhab dan taqlid secara mutlak dalam fiqh.

Jika ditinjau, pendekatan tidak menolak bermazhab dalam fiqh ini juga ditempuh oleh Ulama-ulama muhaqqiq terdahulu seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, Ibnul Qayyim, Ibnu Kathir dan ramai lagi. Buktinya kita dapat melihat walaupun mereka sama dalam prinsip-prinsip Akidah namun mereka berbeza dari sudut kecenderungan mazhab dalam fiqh. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah misalnya seorang yang bermazhah Hanbali namun beliau tidak pernah memaksa anak muridnya untuk menukar mazhab mereka bahkan apa yang beliau tekankan adalah kepentingan memahami dalil dan berpegang teguh dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Pendekatan Syeikh al-Mandili ini dilihat sangat berhikmah untuk diikuti dan dipraktikkan di Nusantara yang sudah turun temurun mempelajari fiqh dan hukum hakam ibadat berdasarkan mazhab Syafi`i. Tidak hairanlah di kalangan aliran pondok mereka masih mengiktiraf keilmuan Syeikh al-Mandili walaupun beliau ternyata berbeza dari sudut pandangannya dalam Akidah yang nyata memilih mazhab salaf.

“ Adapun perkataan Hasan Bandung dengan bahawasanya ( Di dalam dua puluh tiga tahun itu, bahkan hingga satu kurun hijriah, kaum muslimin tidak kenal mazhab-mazhab ) maka jika dikehendakinya mazhab-mazhab imam yang empat maka diterima, dan jika dikehendakinya mazhab-mazhab sahabat maka tiada betul kerana tiada ada dalilnya, bahkan ada padanya membangsakan sahabat-sahabat Radhiyallahu`anhum kepada jahil.”[16]

Jelas Syeikh Al-Mandili lagi:

“ Dan adapun perkataannya ( Mereka beramal dan beribadah menurut asas Islam yang empat: Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas ) maka iaitu sebenar, bahkan kita pun seperti mereka itu juga, beramal dan beribadah menurut asas yang empat, tetapi tiada sekalian mereka itu mujtahid ( Kuasa mengeluarkan hukum daripada Quran dan hadith dan ijmak dan qiyas ) bahkan ada sesetengah mereka itu orang yang tiada sampai kepada pangkat ijtihad semacam dengan kita, maka mengikut akan hukum-hukum yang difatwakan oleh yang mujtahid daripada mereka itu, dan segala hukum yang difatwakan mujtahid di dalam satu kurun itu dinamakan juga akan dia dengan mazhab, kerana masuk ia dalam takrif mazhab, dan adapun mewajibkan sekalian muslimin yang satu kurun itu dengan ijtihad maka iaitu tiada sah, kerana ada padanya menyalahi ijmak sahabat, dan lagi memberati setengah mereka itu dengan barang yang tiada dikuasai  لا يكلف الله نفسا إلا وسعها   artinya tiada memberati Allah Taala akan seseorang melainkan sekuasanya. Wallahualam.[17]

Apa yang dinyatakan oleh Syeikh al-Mandili ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran akan tingkatan manusia dalam menuntut ilmu, keupayaan dan kefahaman dalam ilmu adalah berbeza, firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). [ Al-Taubah: 122 ]

Perintah Allah agar bertanya kepada Ahli Ilmu dan merujuk mujtahid dalam Al-Quran menunjukkan bahawa dibenarkan bertaqlid kepada ahli ilmu dan mujtahid dalam agama. Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. [ An-Nahl: 43 ]

Kata Ali bin Abi Talib RA:

حَدِّثُوا النَّاسَ، بِمَا يَعْرِفُونَ أَتُحِبُّونَ أَنْ يُكَذَّبَ، اللَّهُ وَرَسُولُهُ

“ Ceritakanlah kepada manusia dengan apa yang mereka ketahui (apa yang mampu difahami menurut akal mereka) apakah kamu suka Allah dan RasulNya didustakan?” [18]

Manakala sisi Syeikh Al-Mandili menolak fanatik Mazhab pula dapat dilihat pada perkataan beliau:

“ Dan kami tiada menjadikan dalil akan perkataan Ulama bahkan perkataan sahabat pun tiada ada dalil pada sisi kami, kerana sahabat dan ulama itu manusia yang tiada maksum, boleh jadi ia tersalah, melainkan jika sahabat atau ulama itu ijmak, maka adalah ijmak mereka itu jadi hujjah, pendeknya tiada ada hujjah pada sisi kami melainkan empat, Quran dan hadith dan ijmak dan qiyas.” [19]

  1. Wasatiyyah Syeikh Al-Mandili dalam Akhlak (Tasawwuf)

Sebagaimana pendahulunya di kalangan Ulama Muhaqqiq seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibnul Qayyim, Syeikh Al-Mandili juga tidak menolak secara total ilmu tasawwuf. Ini juga antara hikmah dan kebijaksanaan Al-Mandili dalam meraikan faktor masyarakat Nusantara yang sudah sebati dengan ilmu Tasawwuf. Namun pendekatan Wasatiyyah yang dibawa oleh Syeikh Al-Mandili adalah dengan beliau berkhidmat kepada ilmu tasawwuf dengan menjadikan rujukan dan dasarnya adalah Al-Quran dan Al-Sunnah bukan dasarnya daripada teori Falsafah dan ilmu kalam.

Jelas Syeikh Al-Mandili:

 

“ Ketahui olehmu bahawasanya Ilmu Tasawwuf itu pengetahuan yang diketahui dengan dia akan segala kelakuan hati, sama ada kelakukan yang dipuji seperti merendah diri dan sabar atau kelakuan yang dicela seperti dengki dan membesar diri.

Dan adapun faedahnya maka menyampaikan ia kepada mengkosongkan hati daripada yang lain daripada Allah Ta’ala dan menghiasinya dengan memandang kepada Tuhan sekalian alam.

Dan adapun hantarannya maka iaitu hati manusia daripada pihak kelakuan yang datang kepadanya.

Dan adapun hukumnya maka fardhu ‘ain atas tiap-tiap yang berakal lagi sampai umur.

Dan adapun tempat ambilnya maka daripada Quran yang Mulia dan hadith Nabi Sallallahu’alaihiwasallam.[20]

Begitu juga Syeikh Al-Mandili dengan jelas menolak Tasawwuf  Falsafi dan Batini yang selalunya ghuluw(melampau) dalam pegangan dan amalan mereka antaranya mendahulukan wali di atas Nabi. Jelas beliau:

“ Dan banyak daripada mereka itu menyangka bahawasanya dengan sebab bersungguhnya pada ‘ibadat sampai ia kepada barang yang sampai kepadanya sekalian nabi, daripada ketiadaan mengikut jalan mereka itu. Dan setengah daripada mereka itu mereka yang menyangka ia akan bahawasanya dirinya telah jadi ia lebih afdhal daripada sekalian nabi. Dan setengah daripada mereka itu yang berkata ia bahawasanya sekalian nabi dan rasul hanyasanya mengambil mereka itu akan pengetahuan daripada kesudahan sekalian wali.

Dan mendakwa ia bagi dirinya akan bahawasanya ia kesudahan sekalian wali. Dan adalah itu pengetahuan pada hakikay seperti perkataan Fir’aun yang mengaku dengan bahawasanya ia Tuhan yang lebih tinggi. Tetapi Fir’aun lebih mengenal Allah Ta’ala daripada mereka itu, kerana ia mengaku ada yang menjadikan dan mereka itu berkata ada makhluk ialah ada yang menjadikan. Dan berkata mereka itu wilayah lebih besar daripada nubuwwah dan perkataan mereka itu nyata batilnya.” [21]

Oleh:

Muhammad Fashan bin Ahmad Ziadi

Unit Kajian Ilmiah Yayasan Ta’lim

Penerjemah : Dr Abd Basit bin Abd Rahman

 

Catatan Kaki

[1] Rujuk Tafsir Al-Tabari 3/141, Tafsir Ibnu Kathir 1/454, Tafsir Al-Qurtubi 2/153, Al-Baghawi 1/158

[2] Rujuk Hazman Hassan, Muhammad Ihsan bin Idris, Ketegasan Syeikh ‘Abd Qadir Al-Mandili di atas Prinsip Agama: Kajian Kitab Perisai Bagi Sekalian Mukallaf dalam Jurnal of Advanced Research in Social and Behavioural Sciences, http://www.akademiabaru.com/doc/ARSBSV8_N1_P35_45.pdf

[3] Perisai Bagi Sekalian Mukallaf atau Simpulan Iman Atas Mazhab Salaf hal 16, Al-Hidayah Publication

[4] Ibid

[5] Ibid hal 21

[6] Ibid hal 22

[7] Ibid hal 26-27

[8] Ibid hal 27

[9] Ibid hal 29

[10]Ibid hal 31

[11]Ibid hal 32

[12] Ibid hal 47-48

[13] Ibid hal 310

[14] Anak Kunci Syurga hal 25, Al-Hidayah Publication

[15] Perisai Bagi Sekalian Mukallaf hal 55

[16] Al-Mazhab Atau Tiada Mazhab, hal 9, cetakan Al-Anwar Mesir Ramadhan 1379H.

[17] Al-Mazhab Atau Tiada Mazhab, hal 10, cetakan Al-Anwar Mesir Ramadhan 1379H

[18] Sahih Al-Bukhari بَابُ مَنْ خَصَّ بِالعِلْمِ قَوْمًا  دُونَ قَوْمٍ، كَرَاهِيَةَ أَنْ لاَ يَفْهَمُوا   كتاب العلم

[19] Al-Mazhab Atau Tiada Mazhab, hal 49, cetakan Al-Anwar Mesir Ramadhan 1379H

[20] Penawar Bagi Hati, hal 4, Cetakan Bin Halabi, Patani

[21] Perisai Bagi Sekalian Mukallaf, hal 351